KISAH BENAR: Dari Seorang Penjual KELAPA SALAI Menjadi Seorang MENTERI BESAR SELANGOR
9/23/2012 05:00:00 pm
Memandang dengan wajah yang sayu, anak itu tidak dapat 
berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rumah salai kelapa yang dibina 
bersama neneknya dari rentung dijilat api. Pada hari itu, 
bukan sahaja salah satu punca pendapatan keluarganya hilang, malah dia 
harus mencari jalan melangsaikan upah yang perlu dibayar kepada beberapa
 orang perkerja.
Tertekan dengan kejadian itu, semangatnya tidak
 patah, malah dia mampu berdiri di hadapan keluarganya bagi menyatakan 
kesediaannya untuk bertanggungjawab atas kejadian tersebut, sedangkan 
ketika itu dia cuma berusia 12 tahun. Akibatnya, anak itu 
kehilangan biasiswa persekolahan dan terpaksa membuat kerja sambilan 
dengan mengajar matematik kepada anak-anak seorang tauke Cina yang 
bersekolah di darjah tiga dan empat.
baca lagi Klik TAJUK ENTRI ni
Akhirnya, hasil titik peluh anak kampung itu, beliau berjaya meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarganya. Peristiwa kebakaran rumah salai itu memberi kesan sangat mendalam di hati kecil anak itu dan masih kekal dalam ingatanya.
Pada 1979, 21 Tahun selepas kejadian kebakaran rumah salai neneknya, 
anak kecil yang pernah menjual kelapa salai itu adalah Ketua Pegawai 
Eksekutif (CEO) di Permodalan Nasional Berhad. Dua tahun kemudiannya, nama penjual kelapa salai itu menjadi sebutan masyarakat dan korporat antarabangsa.
Ini atas kejayaan mengetuai operasi ‘dawn raid’ di Bursa Saham London 
dengan ‘membawa pulang’ syarikat ladang kelapa sawit gergasi 
Malaysianized Guthrie (kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd). Dua puluh tujuh tahun selepas kejayaan ‘dawn raid’, anak itu dinobatkan pula sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-14.
Demikian antara liku-liku kehidupan pernah ditempuhi Tan Sri Abdul 
Khalid Ibrahim yang sempat dirakamkan beliau dalam buku sulongnya, 
‘Fearless: From Kampung Boy To CEO’. Buku tersebut dilancarkan 
oleh isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut dalam satu 
majlis yang diadakan di Hotel Sunway Pyramid hari ini.
Selain 
menceritakan pengalaman beliau ketika meningkat dewasa, Abdul Khalid 
turut menyelitkan tips-tips berguna dalam mengejar impiannya untuk 
dikongsikan bersama masyarakat. Antara pengajaran penting yang 
dikongsikan Khalid dalam buku setebal 76 halaman ini, beliau amat 
menitikberatkan sikap bertanggungjawab dalam menjalankan tugas. 
Selain isi kandungan yang padat dengan pengalaman perit dan lucu buku 
ini bertambah menarik kerana dipersembahkan dengan gaya penyampaian 
seolah-olah Abdul Khalid berkomunikasi secara intim dan mesra dengan 
pembaca. Ketika ditemui semasa pelancaran, Abdul Khalid 
memberitahu, buku yang dihasilkannya ini merupakan perintis kepada 
penulisan bacaan yang lebih berat.
“Banyak kali rakan-rakan saya minta saya tulis buku pengalaman saya sebagai ahli korporat.
“Jadi saya hasilkan buku ini dahulu sebagai permulaan kepada penulisan 
yang lebih berat, lebih bersifat akademik,” katanya kepada media selepas
 pelancaran buku tersebut.
Menurut Abdul Khalid, hasil jualan buku yang berharga RM25 senaskhah ini akan disumbangkan ke rumah-rumah kebajikan. Buku ini sudah pun berada di pasaran dan boleh didapati di kedai-kedai terkemuka.




1 comments
Buku yang mcm menarik...pasti sy cari..
ReplyDelete"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"