Sahabat Que 'Silent Readers'

AL FATIHAH: Korban Selamat Rakan, MAUT di'GOMOL' Seladang...

9/02/2012 11:00:00 am

SAKIT... Mohd Saripudin (kanan) menunjukkan kecederaan dialami adiknya, Isa akibat dipijak seladang di Hutan Royal Belum, Banding, Gerik semalam. 
GERIK: “Kami sempat melihat seladang itu menanduk rusuk kiri Musa, menyebabkan dia melambung lima meter ke udara sebelum tersangkut pada pohon buluh,” kata Isa Abdul Manas, 24, rakan kepada Musa Ismail, 55, yang maut diserang seekor seladang di Hulu Air Pasir, Banding, berdekatan Hutan Simpan Royal Belum, di sini, petang kelmarin. Dalam kejadian jam 6 petang, Musa bersama Isa serta abangnya, Mohd Saripudin Abdul Manas, 34, berkunjung ke kawasan itu untuk memancing sebelum berdepan saat mencemaskan diserang haiwan liar berkenaan.

Musa yang juga penebang balak berasal dari Felda Bersia, di sini, menderita kesakitan hampir dua jam akibat cedera parah di rusuk kiri akibat rodokan binatang itu sebelum menghembuskan nafas terakhir jam 8.45 malam. Isa yang ditemui di rumahnya di Kampung Kenayat, di sini, semalam berkata, mereka memasuki hutan untuk memancing ikan dengan berjalan kaki hampir tiga jam menerusi ‘lorong tikus’ di Kilometer 68.4 di Jalan Raya Timur Barat berdekatan Banding, di sini.
baca lagi Klik TAJUK ENTRI ni
Beliau berkata, pada mulanya, seladang itu menyerang dia dan abangnya, manakala arwah berada lima meter dari situ.   “Panik melihat kami berdua diserang seladang, arwah menuju ke arah haiwan itu untuk mengacah selain menjerkah supaya ia beredar. “Bagaimanapun, haiwan itu bertindak agresif sebelum meluru ke arah arwah dan menanduknya, menyebabkan arwah melambung dan tersangkut pada pohon buluh,” katanya.

Katanya, abangnya turut cedera dipijak seladang itu dan terpaksa meriba Musa sebelum menghubungi isteri arwah untuk memaklumkan kejadian. Isa berkata, arwah menghembuskan nafas terakhir dua jam kemudian akibat pendarahan teruk di rusuk kiri sebelum pasukan penyelamat tiba awal pagi semalam bagi mengeluarkan mereka bertiga.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana hanya cedera ringan di betis, paha dan tengkuk ketika bergelut dengan seladang berkenaan, manakala abangnya cedera ringan di kaki. “Ketika pergelutan, saya hampir dipijak binatang itu selain nyaris ditanduk di perut. Malah, beg galas yang dipakai juga terkoyak akibat dirodok binatang itu. “Saya tidak menduga kejadian itu boleh berlaku dan serik ke sana lagi,” katanya.

Sementara itu, isteri arwah, Siti Ghatna Che Ahmad, 61, berkata, suaminya tidak banyak bercakap sebelum bertolak ke Hutan Belum, petang kelmarin. “Arwah memang suka mencari ikan sungai dan akan ke hutan berkenaan, terutama pada hari cuti. Bagaimanapun, saya dan tiga anak menganggap kejadian ini sebagai takdir,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Forensik, Hospital Gerik (HG), di sini, semalam.

Jenazah Musa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bersia selepas solat Zuhur semalam.

You Might Also Like

0 comments

"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"


Search Blog QueAchmad