Sahabat Que 'Silent Readers'

Bilamana Jauhari Mengenal Manikam...

6/04/2012 06:05:00 pm


Seorang guru yang sangat dihormati dan terkenal didatangi oleh seorang muridnya pada satu hari di rumahnya. Murid itu kehairanan melihat keadaan rumah gurunya dan cara gurunya berpakaian. Semuanya kelihatan serba sederhana dan tidak menunjukkan ciri-ciri rumah dan cara berpakaian orang yang terkenal.

"Wahai guru, saya tidak faham mengapa seorang guru yang terkenal seperti kamu tinggal dan berpakaian seperti ini.Tidakkah sepatutnya kamu berpakaian dan tinggal di rumah mewah setanding dengan kemasyhuran dan kekayaan yang kamu miliki?" Guru itu cuma tersenyum sambil melucutkan sebentuk cincin dari jarinya.

"Saya akan menjawab pertanyaan kamu tapi sebelum itu kamu perlu ambil cincin ini dan bawa ke pasar. Cuba kamu jualkan cincin ini dengan harga sekeping wang emas" Melihat kepada keadaan cincin gurunya yang kusam, murid itu agak ragu-ragu.

"Sekeping wang emas? Saya tidak pasti cincin ini boleh dijual pada harga tersebut" kata murid itu lagi.

"Cubalah dulu. Manalah tahu kamu berjaya menjualnya pada harga tersebut" kata gurunya. Murid itu lalu membawa cincin itu ke pasar. Dia bertanya kepada penjual kain, penjual sayur, penjual daging, penjual ikan dan lain-lain peniaga tapi tiada siapa yang mahu membeli cincin itu dengan harga sekeping wang emas. Murid itu kembali kepada gurunya dengan perasaan hampa.

"Wahai guruku, tiada siapa yang ingin membeli cincin ini dengan harga sedemikian. Paling mahal yang ditawarkan oleh peniaga-peniaga di pasar itu ialah sekeping wang gangsa"

Guru itu masih lagi tersenyum dan berkata, " Sekarang kamu bawa cincin ini kepada kedai emas di hujung jalan ini. Tunjukkan cincin tersebut kepada tukang emas di situ. Jangan kamu sebutkan harganya sebaliknya tanya tukang emas tersebut, berapa harga yang boleh ditawarkan untuk cincin ini"

Murid itu pun pergi ke kedai emas tersebut dan seketika kemudian pulang dengan muka yang berseri-seri. "Wahai guruku, tukang emas itu menawarkan seribu keping wang emas untuk cincin ini. Saya bagaikan tidak percaya dengan harga itu"

"Wahai muridku, itulah jawapan kepada soalan kamu tadi. Seseorang itu tidak boleh dinilai dengan keadaan rumah tempat tinggalnya dan cara dia berpakaian. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Permata dan emas dalam diri seseorang hanya boleh dilihat oleh mata hati, bukan mata kasar dan ia perlukan proses yang agak teliti untuk mengenalinya. Kita tidak boleh melihat permata dan emas dalam diri seseorang hanya dengan pandangan pertama (first impression). Seringkali kita tersilap membuat andaian. Sesuatu yang kita nampak luarannya seperti emas rupanya tembaga dan sebaliknya"

Published with Blogger-droid v2.0.4

You Might Also Like

3 comments

  1. fuhhh... sangat mendalam msj yg di sampaikn.. huuu

    ReplyDelete
  2. Berfikir dalam dengan entri ni.

    ReplyDelete
  3. don't judge people by it's apperance :)

    ReplyDelete

"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"

Search Blog QueAchmad