Sahabat Que 'Silent Readers'

CARA DAPAT ZURIAT SOLEH. Ulasan USTAZ AZHAR IDRUS

1/03/2013 08:07:00 am

CARA DAPAT ZURIAT SOLEH. Ulasan USTAZ AZHAR IDRUS | Ulasan dari Ustaz Azhar Idrus ni Abe dapatkan secara EKSKLUSIF untuk korang semua. Bukan apa, hanya sekadar perkongsian semata-mata. Ilmu ALLAH SWT tak rugipun kalu dikongsi :)

SETIAP pasangan suami isteri pastinya mengharapkan perkahwinan yang dibina segera dikurniakan cahaya mata bagi menjadi pelengkap hubungan kasih sayang antara mereka. Jika berhasil, panjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah kerana Dia ‘memilih’ kita untuk melaksanakan tanggungjawab mendidik anak dalam kandungan itu supaya menjadi insan berguna.

baca lagi Klik TAJUK ENTRI ni
Bagi pasangan yang barangkali sudah bertahun menantikan kehadiran cahaya mata namun rezeki belum berpihak kepada mereka percayalah, itu sebahagian ujian Allah dan terimalah ketentuan itu dengan penuh reda. Gunakan kesempatan yang ada untuk terus berdoa dan berusaha, moga-moga satu hari nanti Allah perkenankan permohonan kita menimang cahaya mata. Ketika itu, diharapkan kita sudah bersedia menggalas amanah Allah itu dengan sempurna. Setiap ibu bapa mengharapkan anak mereka bukan saja dapat membantu di dunia bahkan diharap membantu ibu bapanya hingga ke akhirat.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Apabila sudah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya.” Sekiranya mengidamkan zuriat yang terbaik dan soleh, setiap ibu bapa mesti sentiasa berdoa kepada Allah yang menjadi amalan nabi dan rasul.

Allah berfirman yang bermaksud: “Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku seorang anak yang baik dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau sentiasa Maha Mendengar doa permohonan.” (Surah Ali-Imran ayat 38).

Dalam ayat itu, nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang soleh dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan lagi mereka berdoa kepada Allah s.w.t. Malah proses melahirkan anak soleh juga perlu mengambil kira adab sebelum melakukan hubungan intim bersama isteri supaya terhindar daripada gangguan syaitan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sekiranya seseorang di antara kamu ketika hendak mendatangi isterinya, maka hendaklah ia membaca: “Bismillah, Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami. Aspek pemberian nama kepada bayi juga perlu diberi perhatian serius. Pastikan ibu bapa memberikan nama yang indah dan mempunyai makna yang baik selain sedap di dengar dan mudah disebut.

Daripada Abu Darda’ berkata, Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu sekalian akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh demikian, elokkanlah nama-nama kamu”. (Riwayat Imam Abu Daud).

Nama yang dipanggil kepada anak itu adalah doa buat mereka dan mewakili diri serta kehidupannya. Jangan salah memberi nama sehingga membawa maksud keji, hina dan buruk maksudnya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berilah nama dengan nama-nama Nabi. Nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman. Nama yang paling tepat (dengan hakikat manusia) ialah Harith dan Hammam, dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dan lain-lain).

Anak juga perlu diberi penekanan terhadap tuntutan ibadah kerana kesempurnaan ibadah melambangkan sifat kepatuhan serta ketaatan kepada Allah. Ibu bapa juga perlu mempamerkan akhlak dan budi terpuji kepada anak-anak yang masih dalam proses membesar kerana suasana baik dan positif itu akan meresap ke dalam jiwa dan sanubari. Soal halal haram rezeki amat mempengaruhi tindakan sikap dan tingkah laku anak. Pastikan apa saja bentuk rezeki termasuk wang, makanan atau minuman yang dibawa pulang ke rumah datangnya daripada sumber halal, terbaik lagi suci. Malah sumber syubhah perlu dijauhi. Rezeki daripada sumber haram pastinya tidak membawa keberkatan malah ia akan menjadi darah daging yang merosakkan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai manusia, makanlah apa-apa di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (Surah Al-Baqarah ayat 168).

Mulakan langkah pertama mendidik anak dengan kembali menghayati ajaran Islam serta menghidupkan persekitaran Islamiah dalam rumah tangga. Ciri-ciri anak soleh antaranya taat kepada Allah, taat kepada ibu bapa dan menjadikan Islam sebagai pegangan.

“Jika anak soleh menjadi perhiasan kepada kehidupan di dunia dan menyejukkan mata memandang, anak toleh pula membawa maksud bertentangan.

“Anak toleh ialah anak yang jahat, tidak mentaati Allah serta ibu bapa serta sering menimbulkan masalah kepada masyarakat selain memusnahkan kebahagiaan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa atau bakal bapa perlu sentiasa memainkan peranan mereka terutamanya menyuburkan amalan terbaik yang mampu memberikan kesan langsung kepada jiwa anak-anak untuk menjadi insan soleh dan solehah.

“Melahirkan serta memiliki anak soleh lebih penting daripada menumpukan sepenuh masa mencari dan mengumpul harta kekayaan dunia.

“Tiada gunanya sepasang suami isteri yang sudah memiliki segala-galanya, harta melimpah ruah, tetapi gagal membentuk peribadi anaknya yang diselubungi pelbagai masalah moral.

“Istilah anak toleh atau derhaka ini pastinya menghampakan impian dan harapan kedua ibu bapanya malah tidak membahagiakan kehidupan orang tuanya di dunia dan di akhirat,” katanya.

Beliau berkata, anak soleh tidak akan putus-putus mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan ibu bapa mereka meskipun mereka sudah pergi menghadap Ilahi.

“Itulah yang amat diharapkan setiap ibu bapa apabila mereka sudah tiada lagi di dunia ini. Doa yang sentiasa dipanjatkan anak yang soleh itu pastinya menjadi bekalan berkekalan buat mereka.

“Nabi ada bersabda yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”

“Anak soleh bukan dapat dilahirkan secara ‘automatik’ sebaliknya bergantung kepada pendidikan yang bermula sejak daripada pemilihan calon isteri atau suami lagi,” katanya.

Roslan berkata, pendidikan sempurna adalah asas paling utama untuk melahirkan anak yang soleh selain perlu disesuaikan dengan suasana dan zaman mereka.

“Anak-anak perlu diberikan didikan sesuai dengan peringkat umur mereka dan suasana semasa di samping perlu melihat bentuk cabaran yang sedang dihadapi.

“Nabi Muhammad pernah bersabda, didiklah anak kamu mengikut peredaran zaman kerana anak kamu akan membesar pada zaman lain dengan cabaran berbeza dengan cabaran hari ini,” katanya.

Memiliki anak soleh bermula sejak daripada pemilihan calon pasangan lagi iaitu berdasarkan kepada empat perkara agama, kekayaan, kecantikan dan keturunan.

“Rasulullah menyarankan lelaki yang mahu berkahwin memilih wanita atas sebab agama kerana pastinya ia usaha awal untuk memiliki anak soleh.

“Besar kemungkinan, jika seseorang memilih pasangan yang tidak bagus sikap, akhlak dan peribadinya kemungkinan anak yang mereka miliki mempunyai sikap sama,” katanya.

Beliau berkata, ramai pasangan melakukan kesilapan kerana hanya berdoa meminta dikurniakan anak, tetapi tidak ramai yang meminta dikurniakan anak soleh.

“Setiap pasangan perlu sentiasa berdoa supaya dikurniakan anak yang soleh. Justeru pendidikan awal daripada ibu bapa kepada anak mereka amat penting dalam menentukan baik buruk hala tuju anak-anak.

“Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud, “Setiap anak dilahirkan seperti kain putih, ibu bapanya yang mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

“Tidak cukup ibu bapa hanya berbangga anak mereka mampu memperoleh keputusan terbaik dalam peperiksaan kerana yang lebih penting daripada itu ialah mereka turut melakar kecemerlangan kerana menjiwai watak anak soleh,” katanya. Bukan bermakna ibu bapa yang mempunyai anak derhaka perlu disisihkan mereka begitu saja namun anak itu perlu diberikan peluang serta bimbingan untuk berubah.

“Sebenarnya itu sebahagian ujian Allah kepada hambanya supaya mereka terus gigih memberi galakan serta membantu anak mereka kembali ke pangkal jalan.

“Setiap ibu bapa disarankan tidak mudah putus harapan dan semangat sebaliknya terus melaksanakan tanggungjawab dan peranan sebagai contoh ikutan kepada anak-anak,” katanya.

You Might Also Like

1 comments

"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"


Search Blog QueAchmad