[EKSKLUSIF] Antivirus Komputer Berlandaskan Syariah | TERBARU DI PASARAN
2/17/2014 11:00:00 am
[EKSKLUSIF] Antivirus Komputer Berlandaskan Syariah | TERBARU DI PASARAN |
SIAPA sangka, selain daripada perbankan Islam dan hab makanan halal, 
Malaysia juga ada syarikat yang menyediakan perkhidmatan perisian 
keselamatan internet atau bahasa mudahnya, antivirus yang berlandaskan 
sistem digital syariah sepenuhnya.

Lebih membanggakan, produk unik ini dihasilkan sebuah perusahaan 
kecil dan sederhana (PKS), 1Machine Sdn Bhd (1Machine) yang merupakan 
antara syarikat di bawah bimbingan Technology Park Malaysia 
(TPM).
baca lagi klik TAJUK ENTRI ni
Dikenali sebagai Perisai, perisian yang digunakan untuk 
keselamatan internet ini adalah buah fikiran tiga usahawan muda Melayu 
iaitu Ketua Pegawai Eksekutif 1Machine, Abbyamir Sapie; Ketua Pegawai 
Operasi 1Machine, Shaifulizan Othman dan Pengarah Perniagaan 
Antarabangsa 1Machine, Mohd Juani Affendi Ibraham.
Idea menghasilkan produk teknologi itu datang selepas mereka 
menyedari masih tiada syarikat tempatan yang menawarkan produk perisian 
keselamatan internet kepada pengguna, jadi 1Machine diasaskan pada 2010 
bagi merealisasikan impian itu.
Pada 2011, 1Machine mula mengkomersialkan Perisai kepada umum dengan 
mengutamakan konsep perniagaan kepada perniagaan (B2B) melalui pengedar.
Kini, syarikat itu menawarkan perkhidmatan seperti Perisai Antivirus,
 Perisai Anti Spyware, Perisai Anti Spam, Perisai Parental Control, 
Perisai Firewall dan Perisai Mobile Security. 
Tembusi pasaran Timur Tengah 
Abbyamir berkata, selepas empat bulan pelancaran Perisai, pada 2012, 
1Machine berjaya mendapatkan beberapa pengedar di peringkat global di 
mana kebanyakannya adalah dari negara Islam Timur Tengah serta Utara 
Afrika seperti Arab Saudi dan Mesir.
“Peluang ini kami dapat daripada penglibatan dalam beberapa program 
seperti pameran dan juga program di bawah TPM termasuk tunjuk ajar 
mengenai kemasukan pasaran, nasihat perniagaan, pembangunan serta 
rancangan perniagaan.
“Tahun lalu, kami banyak habiskan masa mencari pendedahan kepada 
pasaran. Pada Februari tahun ini, kami telah menubuhkan syarikat pertama
 1Machine di luar Malaysia dikenali sebagai 1Machine Technology Pte Ltd 
di Juba, Sudan Selatan bagi menjaga operasi dan pemasaran jualan kami di
 Afrika,” katanya.
Abbyamir menambah, 1Machine pada bulan lalu juga telah membuka 
syarikat 1Machine Technology Pte Ltd yang berpangkalan di Yorkshire, 
United Kingdom sebagai pusat operasi dan hab pemasaran Perisai di 
Eropah.
“Kami buka syarikat itu dengan kerjasama rakan kongsi di sana yang 
sudah beri pendapat dan kemukakan rancangan mereka bagaimana untuk 
membantu Perisai menembusi pasaran di Eropah,” katanya. 
Kerajaan turut bantu sektor teknologi 
Bagi Abbyamir, inisiatif daripada kerajaan memang banyak disediakan bagi membantu usahawan sektor teknologi.
“Kami juga penerima bantuan daripada Yayasan Usahawan Baru Malaysia 
(Mynef) yang membuat rancangan baik untuk mempromosikan Perisai dalam 
kalangan pengguna terutamanya syarikat PKS.
“Melalui geran ini kami menyediakan Perisai kepada syarikat PKS secara percuma dan ia dibiaya oleh Mynef sendiri,” katanya.
Berdasarkan sokongan itu, 1Machine menyasarkan anggaran penggunanya akan mencecah 200,000 pada hujung tahun ini.
Namun beliau juga berharap akan ada bantuan dari segi penjenamaan produk unik itu supaya lebih dikenali pengguna.
“Sebagai produk baru kami perlukan bimbingan dari segi penjenamaan, 
komersial dan pengiklanan bagi memberitahu umum mengenai produk tempatan
 dan saya harap kerjaan akan beri lebih perhatian untuk bantu usahawan 
teknologi dalam perkara ini,” katanya. 
Tak banyak produk negara Islam 
Ditanya mengenai perancangan akan datang, Abbyamir berkata, 1Machine 
akan mengutamakan sasaran bagi penembusan pasaran Perisai di peringkat 
global kerana tidak banyak produk yang datang dari dunia Islam seperti 
negara-negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Boleh dikatakan 98 peratus (produk teknologi) adalah dari Eropah dan Amerika Syarikat.
Di sini kita boleh lihat peluang sangat cerah bagi produk dari 
Malaysia dan negara Islam untuk tembusi pasaran Timur Tengah dan negara 
yang mempunyai peratusan penduduk Islam tinggi.
“Rakan kongsi kami di Eropah juga turut memberi cadangan untuk 
menembusi pasaran negara di Eropah yang mempunyai peratusan penduduk 
Islam tinggi seperti Perancis, United Kingdom dan beberapa negara lain 
lagi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tetap mahu mengukuhkan kedudukan di pasaran 
negara sendiri sebelum menarik perhatian pengguna luar kerana syarikat 
itu yakin, produk dari dunia Islam boleh diterima dengan baik di negara 
Islam seluruh dunia.


 
 
 
 
 
2 comments
amboi antivirus pun ada berlandaskan syariah...
ReplyDeleteterimakasih gan tentang infonya dan semoga bermanfaat
ReplyDelete"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"