Mengapa Allah Menemukan Kita Dengan Orang Yang Salah? | Oleh MUSLIMAH OPTIMIS (MO)

Mengapa Allah Menemukan Kita Dengan Orang Yang Salah? | Oleh MUSLIMAH OPTIMIS (MO) | Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Lama MO tak menulis artikel kan. Seorang sahabat alam maya menghubungi MO dan meminta MO menulis “Kenapa Allah menemukan kita dengan orang yang salah?”.
baca lagi klik TAJUK ENTRI ni
MO kata, dah ramai yang mengupas mengenai isu ini, cari saja di Google. Tapi katanya dia mahu kongsikan kisah hidupnya yang berjumpa dengan orang yang salah sehingga dia terasa jauh dari Allah. Katanya dia terlalu sakit menghadapi perpisahan ini sedangkan dia yang meminta perpisahan itu berlaku. Jawapan yang diberi, berpisah kerana Allah. Alhamdulillah, Allah menghantar dia untuk MO menulis semula kan. 
 
Adakah sekarang ni musim putus cinta? Ada beberapa kenalan MO yang mengalami situasi ini. 
 
Situasi 1 : 
 
Amer dan Ameera sudah merancang untuk bertunang Syawal nanti tetapi putus akhirnya. Situasi berlaku ketika Amer ke tandas tetapi dia meninggalkan telefon bimbit dan walletnya di atas meja makan. Ameera mungkin dengan sifat ingin tahu membuak-buak dengan tanpa sedar (mungkin fikiran dikuasai kerana terlalu ingin mengetahui apakah isi kandungannya) telah membuka wallet Amer. Tanpa diduga, sehelai resit yang menjadi penyebab mereka berpisah kerana sehelai resit itu ada kaitan dengan Ziela. Setelah disiasat, Ameera mendapati Amer  memang mempunyai hubungan dengan Ziela. Curangkah?? Lelaki memang tak cukup dengan seorang perempuankah?? Kalau hanya sekadar kawan biasa tak mengapa tapi kalau lebih dari biasa macam mana pulak. 
 
Manusia menyoal kenapa, kenapa dan kenapa?Kenapa ini berlaku?
Kenapa itu berlaku?

Semua yang berlaku itu ada hikmahnya kerana Allah menjadikan sesuatu itu tentu sekali tanpa sia-sia. Kita tidak ditemukan dengan orang yang salah sebenarnya. Kita ditemukan dengan orang yang betul pada masa itu. Kenapa pula MO kata begitu kan? Sebabnya, Allah menjadikan setiap sesuatu itu tanpa sia-sia. Mesti ada sebab kenapa Allah temukan dua orang insan ini. Sama ada sebagai pasangan kekasih, sahabat, musuh atau apa sahaja hubungan, tentu ada pengajaran dan ibrah yang Allah mahu kita belajar. 

Situasi 2 : 

Hakimi yang sedang bercinta dengan Emelda. Emelda cemburu habis la kat Hakimi ni sebab Hakimi ni tersangat ramai kawan tak kira lelaki dan perempuan. Hakimi ni pula suka sangat bersama kawan-kawannya (keluar makan sembang-sembang dan lepak-lepak). Tapi Emelda tak boleh terima, Emelda tak mahu nak memahami Hakimi. Padahal Hakimi sangat mencintai Emelda sepenuh hati. Walaupun banyak kata-kata Emelda yang menyakitkan hati Hakimi tetapi Hakimi tetap sabar. Hakimi terkenal dengan sifat panas barannya. Sewaktu dia marah, memang sakit hati jugak dengar perkataan-perkataan yang keluar dari mulutnya.  Tetapi dengan Emelda, dia boleh cukup sabar. Dia bertanya, kenapa Allah menguji begini?

Hikmahnya, dia menjadi penyabar. Sabar dengan kata-kata hinaan dan cacian. Hatinya tidak mudah panas dan melenting. Allah itu HEBAT kan. Allah itu ingin mendidik manusia dari pengalaman hidup kan. Sebab itu dikatakan “pengalaman itu guru paling beharga”. 

Situasi 3 : 

Shakira (bukan nama sebenar) seorang gadis yang sangat materialistik. Dia pernah berimpian sejak zaman sekolahnya, jika dia mahu berkahwin nanti dia mahukan pasangan yang sudah ada kerja tetap, sudah ada kereta dan sudah ada rumah. Tak kaya tak mengapa asalkan dah ada semua tu. Tetapi Shakira ditemukan dengan Airil yang berasal dari sebuah kampung terpencil. Hatta Airil tidak mempunyai lesen kereta, kereta lagilah tak ada. Rumah apatah lagi. Tetapi Shakira sangat ikhlas menerima Airil sebagai pasangan hidupnya dan mereka telah berjanji untuk menikah. Keluarga pun sudah mengetahui dan merestui. Hubungan ini telah menghilangkan sifat materialistik Shakira.  Sehinggakan Shakira terfikir, kenapa dia boleh menerima Airil yang tiada apa-apa itu? Jawapannya adalah Allah. Allah yang menakdirkan. Allah HEBAT kan, Dia ingin Shakira menjadi gadis sederhana yang tidak memandang harta untuk meneruskan hidup. Walaupun perpisahan terjadi, sifat materialistik Shakira telah hilang. Cuma yang menjadi pengharapannya kini, seorang lelaki yang boleh membimbingnya kejalan Allah.

Hari ini kita beharta, siapa tahu esok lusa kita kehilangan segala-galanya. Musibah kebakaran atau dirompak. Kita tak tahu apa yang akan berlaku hatta seminit dari sekarang. (Sila rujuk artikel RISIKO). Mungkin hari ini si miskin papa kedana, tetapi dengan usaha dan doa pada masa hadapan dia seorang jutawan. Allah yang menakdirkan bukan. Tetapi syaratnya MANUSIA WAJIB BERUSAHA. Rezeki tak datang bergolek mahupun melayang bak peribahasa, “Yang bulat tak datang bergolek dan yang pipih tak datang melayang”. 

Situasi 4 : 

Naziha sudah sangat layak untuk bernikah. Umurnya awal 30-an. Cantik, sangat pandai memasak, bukan sahaja memasak dalam kuantiti yang sedikit malah masak untuk jamuan pun boleh. Kagum. Rakan-rakan seusianya sudah mempunyai anak-anak. Bukan dia tidak ada calon. Tetapi Adam terpaksa bekerja di luar negeri. Hubungan mereka sudah menginjak 5 tahun. Tetapi Adam tidak pernah memberi kata putus untuk menikahi dalam masa terdekat. Adam pernah berkata, jika ada lelaki lain masuk meminang, terimalah. Naziha meredhai. Bukan tak ada orang yang berkenan pada Naziha, ramai yang berkenan nak dijadikan menantu tetapi Naziha pula tidak berkenan. Dia juga pernah melalui fasa percintaan sebelum ini tetapi bukan jodoh dan hubungan itu terputus. Adakah dia dipertemukan dengan orang yang salah? Tentu sekali tidak. Orang yang ditemui sebelum ini adalah pengalaman hidup yang beharga. Dalam tempoh usianya sekarang, dia sudah memiliki perniagaan sendiri, mengambil tempahan itu dan ini. Rezekinya bertambah murah. Rakannya bertambah ramai. Allah mengurangkan bahagian ini dan melebihkan bahagian itu. Allah itu maha adil.

Allah mengetahui sesuatu yang kita tidak tahu. Kadang-kadang kita bertanya, kenapa kita belum dipertemukan dengan pasangan yang sesuai, jodoh yang telah ditetapkan dari usia kandungan 120 hari. Kita juga menyoal, kenapa kita masih belum dikurniakan anak sedangkan sudah bernikah 10 tahun, malah ada yang berbelas tahun. Allah ada jawapan yang kita tidak tahu. Mungkin saja kita belum bersedia sepenuhnya walaupun pada hakikatnya kita merasakan kita sudah bersedia untuk untuk bernikah atau memiliki cahaya mata. Kita merasakan kita sudah bersedia memikul tanggungjawab yang berat. Tetapi mungkin Allah lambatkan jodoh kita, Allah lambatkan zuriat kita kerana Allah ingin memberi peluang yang belum bernikah untuk membantu keluarganya terlebih dahulu. Allah memberi peluang kepada pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata untuk terus menikmati alam bulan madu. Positif, positif dan positif dan semestinya kita WAJIB berusaha dan berdoa.

Situasi 5 : 

Adira bekas pelajar sekolah agama. Seorang yang solehah. Sentiasa menjaga hubungan dengan lelaki. Boleh dikatakan tiada kawan lelaki. Pernah menjalani proses taaruf untuk membina baitul muslim tetapi lelaki yang ditaaruf kali pertama itu bukan jodohnya. Tanpa diduga Adira bertemu dengan seorang lelaki di laman sosial. Mereka berhubungan dengan rapat, kadang-kadang berchatting berjam-jam lamanya. Berkongsi segala suka dan duka. Ammar berjaya membuat Adira ketawa, berjaya membuat Adira yang pada asalnya berfikiran negatif menjadi positif. Ammar selalu memberikan semangat dan pendapat yang sangat bernas. Adira jatuh hati, jatuh sayang pada Ammar. Adira semakin berani meluahkan rasa sayang tetapi tidak di pihak Ammar. Kata Ammar belum masanya untuk mereka memikirkan soal cinta. Selama Adira berhubungan dengan Ammar, dia merasakan dirinya semakin jauh dengan Allah. Selalu teringatkan Ammar padahal tak pernah bertemu rupa, hanya alam maya menjadi medium perhubungan. Masanya untuk mengaji telah berkurang, masanya bersama Allah juga terasa lebih sedikit berbanding bersama Ammar. Tetapi dikala Ammar mengajak Adira “couple”, hati Adira terasa kosong sedangkan itulah saat yang dinantikan. Adira memilih Allah kerana dia yakin keputusan yang di buat itu tepat kerana hubungannya dengan Allah semakin jauh. Begitu juga dengan perwatakannya, berubah jauh kearah keburukkan dan bukannya kebaikan. Walaupun sayang dan cintanya terhadap Ammar kuat namun itu harus diketepikan. Adira yakin, hadirnya Ammar dalam hidupnya sebagai satu ujian, untuk melihat sejauh mana cintanya terhadap Ilahi dan cintanya terhadap manusia. Adira kini lebih tenang menjalani hidupnya sekarang walaupun ada kalanya kisah semalam menghantuinya, memori itu mengejarnya dan kenangan pahit itu terlalu sukar untuk dilupakan. Adira memerlukan masa untuk melupakan segalanya. Semoga Allah bersama-sama dengannya dalam meraih semula cintaNYA dan juga mengampuni segala dosanya di saat dia terleka ketika mencari cinta manusia. Adira sedih dan terluka kerana tidak berupaya meraih cinta manusia yang inginkan cinta Allah bersama-samanya. Adira terkilan kerana telah melanggar prinsip hidupnya di mana tidak mencari cinta sebelum nikah. Namun bagi Adira kini, dia berpegang kata-kata carilah cinta Ilahi dan pasti Allah akan menghadiahkan cinta manusia. Adira tetap dengan pendiriannya, biarlah dia kehilangan seseorang kerana Allah daripada kehilangan Allah kerana seseorang.

Kenapa Allah menguji begini? Kenapa Allah menemukan kita dengan orang yang boleh melalaikan kita? Adakah salah pertemuan itu? Allah ingin melihat sejauh mana tahap keimanan kita. Yang baik agamanya diuji lebih hebat, dihantar iblis yang lebih kuat untuk memujuk dan menghasut. Allah menguji sebab Allah ingin memberi didikan. Adira menjadi lebih positif selepas mengenali Ammar walaupun dia terleka sebentar dengan dunia tanpa sempadan. Allah menjadikan sesuatu itu pasti bersebab kan. 

Situasi 6 : 

Saidatul Nafisa pernah bertunang dengan Syukri tetapi Syukri mempunyai hubungan dengan Atiqah. Saidatul Nafisa bukanlah seorang wanita yang suka menuduh tanpa usul periksa. Dia menyiasat dan dengan berani pergi bertemu dengan Atiqah. Atiqah mengaku tetapi Syukri tidak mahu mengaku dan akhirnya dia mengambil keputusan untuk memutuskan perhubungan. Tambahan pula Syukri seorang lelaki yang panas baran. Saidatul Nafisa bertemu pula dengan Firdaus. Tetapi hubungannya bersama Firdaus tidak mendapat restu keluarga Firdaus. Sekali lagi hubungan terputus. Salahnya dia sebelum ini kerana menerima Syukri dan Firdaus tanpa melakukan Istikharah. Kemudian, Hamka seorang lelaki soleh datang dalam hidupnya. Tetapi dia tidak mahu tersilap langkah lagi, menerima lelaki tanpa Istikharah. Untuk menerima Hamka dalam hidupnya dia melakukan Isthikarah selama sebulan setiap kali sepeas solat Isyak. Alhamdulillah, mereka sudah hampir ke majlis pernikahan. Persediaan sedang dilakukan.

Kenapa Allah pertemukan Saidatul Nafisa dengan Syukri dan Firdaus sebelum ini? Kenapa tidak dipertemukan terus dengan Hamka? Allah mahu Saidatul Nafisa meletakkan Allah sebagai yang utama dalam melakukan keputusan.  Jika sebelum ini dia membuat pilihan berdasarkan kata hatinya tetapi setelah pertemuan dengan dua orang lelaki sebelum Hamka, Saidatul Nafisa kini lebih menghargai Hamka dan dia juga meletakkan Allah sebagai yang utama. Cintai Allah kemudian baharu mencintai manusia.

Adakah kita dipertemukan dengan orang yang salah? Tidak ada salahnya pertemuan itu, cuma pertemuan itu bukanlah pertemuan dengan jodoh kita. Kita ditemukan dengan orang yang betul pada masa itu. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan bukan sama ada perpisahan hidup mahupun mati. Cuba fikirkan dah berapa ramai insan yang datang dan pergi dalam hidup kita? Kedatangan mereka membawa sesuatu dalam hidup kita bukan?

Jangan pernah menyalahkan takdir atas setiap pertemuan yang berlaku.

Allah uji sebab Allah sayang,
Allah uji sebab nak mendidik,
Allah uji sebab nak menguatkan hati hamba-hambaNya,
Allah uji sebab nak mendekatkan diri kita kepadaNya.
-MO-

MO kata : Nama-nama watak diambil dari drama-drama TV. Cari sendirilah cerita apa. MO pun jarang tengok TV. Jenuh google nak cari nama-nama watak. Huhuhu.

MO kata lagi : Situasi-situasi di atas adalah kisah benar yang berlaku di sekeliling MO. Tuan badan dah bagi izin untuk MO kongsikan di sini untuk dijadikan teladan dan pengajaran. Sekian Wassalam. Lain-lain artikel boleh dilayari di Laman Muslimah Optimis. :-)

sumber

Artikel Menarik Lainnya



2 comments:

Cinta hazanis said...

like.:)

Miss Vee said...

Berita Gempar 1 Planet !!
KLIK SINI !!

Post a Comment

"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"

Klik LIKE & join Abe di Facebook

Please wait..15 SecondsX

QUE ACHMAD DOT COM


KELAB BLOGGER BEN ASHAARI


GOOGLE +

NETWORKEDBLOGS

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SENARAI ENTRI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

CARIAN ENTRI

Loading...
Hak Cipta Que Achmad Dot Com @ 2010 (www.queachmad.com). Powered by Blogger.

Featured Posts