[EKSKLUSIF] Pemilihan Nama Anak TIDAK SEMESTINYA Daripada BAHASA ARAB | TIPS BERGUNA MEMILIH NAMA ANAK | Sesetengah ulama haramkan nama biasa digunakan orang kafir.

Nama adalah identiti dan nilai diri. Pengenalan awal diri seseorang 
bergantung kepada nama. Bahkan, harta pertama yang diberikan ayah atau 
ibu kepada anaknya adalah nama.
baca lagi klik TAJUK ENTRI ni
Islam menetapkan ibu bapa menamakan anak dengan nama yang bermaksud 
baik. Sifat manusia sukakan yang indah dan baik. Islam itu indah. Allah 
sukakan yang indah.
Justeru, pemilihan nama anak tidak harus dipandang ringan. Nama anak 
yang didaftarkan tidak boleh ditukar, melainkan atas keperluan tertentu.
Sebagai Muslim kita percaya kepada hari kebangkitan atau hari 
akhirat. Sesungguhnya nama diberikan kepada anak di dunia kekal 
digunakan di akhirat. Setiap anak Adam dibangkitkan dan dipanggil dengan
 nama seperti nama di dunia.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Kamu sekalian pada hari kiamat akan 
dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka hendaklah kamu 
memperelokkan nama kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud).
Pemilihan nama anak secara tidak langsung melambangkan identiti ibu 
bapa. Ibu bapa bertanggungjawab memilih nama anak mereka dengan penuh 
teliti dan berhemah.
Nama yang baik adalah doa, harapan ibu bapa kepada anak mereka. 
Dengan memberikan nama yang baik, mencerminkan niat suci ibu bapa supaya
 anaknya menjadi manusia yang baik seperti tersirat di sebalik namanya.
Sebaliknya, nama yang bermaksud buruk diumpamakan seperti sumpahan. 
Nama buruk mencemarkan taraf kedudukan manusia sebagai makhluk paling 
mulia di muka bumi.
Setiap ibu bapa ingin melihat permata hati mereka membesar dan hidup 
dalam baik, berjaya dan selamat. Permulaan hasrat itu perlu dilakukan 
dengan memilih nama yang baik. Nama dapat memberi pengaruh terhadap 
orang yang diberi nama.
Memilih nama baik untuk diberikan kepada anak adalah kewajipan ibu 
bapa. Rasulullah pernah ditanya oleh seorang sahabat mengenai 
kewajipannya sebagai ayah.
Lalu Rasulullah menjawab dengan sabda bermaksud: “Hendaklah kamu 
memperelokkan namanya, didik dan asuhlah dia serta letakkan dia di 
tempat sebaik-baiknya. ” (Hadis riwayat at-Tausi).
Proses memberi nama anak perlu dilakukan sebaik mungkin mengikut 
garis panduan yang diberikan Islam. Jangan pakai ikut suka hati tiru 
pengaruh Barat. Makin ramai tertarik dengan nama berbau kebaratan yang 
didakwa lebih moden dan sedap itu.
Pada zaman Rasulullah, ramai sahabat mempunyai nama tidak elok 
maknanya. Nama buruk itu dipilih ibu bapa ketika zaman jahiliah lagi 
yang tidak peduli soal pemilihan nama untuk anak. Justeru, Rasulullah 
mencadangkan nama baru untuk menggantikannya.
Diceritakan oleh Aisyah seperti diriwayatkan Tarmizi, bahawa 
Rasulullah biasa mengubah nama yang tidak baik kepada nama yang baik. 
Malah nama baik juga diberikan Rasulullah kepada nama tempat atau 
bandar.
Rasulullah pernah menukarkan nama anak perempuan Umar al-Khattab 
daripada Ashiyah yang bermaksud penderhaka kepada Jamilah bererti 
cantik.
Diriwayatkan juga pernah Rasulullah menukar seorang bernama Hazan 
(duka cita) kepada nama Sahel yang bermaksud mudah. Namun pemuda itu 
tidak mahu menukarkan nama diberikan bapanya itu. Akibatnya, dia sendiri
 mengakui perasaan duka cita tidak pernah lekang daripada dirinya.
Ketika Rasulullah tiba di Madinah, nama tempat itu ialah Yathrib yang
 bermakna `keburukan’. Lantas, Rasulullah menyatakan kepada penduduknya 
agar ditukar kepada nama baru iaitu Madinah yang membawa makna `yang 
indah’.
Jika nama tempat tidak boleh di nama dengan nama buruk, tentulah 
lebih lagi kepada manusia. Maruah manusia banyak bergantung kepada 
namanya. Penggunaan nama baik lambang betapa Islam amat mementingkan 
kepada imej baik. Nama baik diharapkan memberikan kesan jiwa atau rohani
 kepada pemilik nama untuk berkelakuan baik seperti namanya.
Pendapat lain mengatakan nama bayi perlu diberikan pada hari ketujuh 
selepas kelahirannya. Hujah ini berdasarkan kepada hadis yang menyebut 
setiap anak bergantung kepada akikahnya, disembelihkan untuknya pada 
hari ketujuh kelahirannya dan dinamakan serta dicukur kepalanya.
Pemilihan nama anak mestilah indah disebut dan membawa makna yang 
baik. Maksud indah ialah senang disebut, mudah diingati dan ringkas. 
Nama itu hendaklah melambangkan nama yang biasa digunakan orang Islam.
Nama yang biasa digunakan orang kafir sebagai melambangkan agama 
mereka hendaklah dielak. Sesetengah ulama mengharamkan penggunaan nama 
yang jelas melambangkan penganut agama lain.
Namun, nama orang Islam tidak semestinya dalam bahasa Arab seperti 
yang difahami sesetengah orang. Bagaimanapun, lebih elok jika nama yang 
dipilih untuk anak dirujuk maknanya mengikut bahasa Arab. Ia penting 
bagi mengelak makna buruk dalam bahasa Arab.
Didapati banyak nama Melayu diterjemahkan ke dalam bahasa Arab 
mempunyai makna buruk dan mengaibkan, biarpun amat baik bunyinya dalam 
sebutan Melayu. Nama binatang, perbuatan buruk, maksud buruk dan nama 
berhala banyak dinamakan kepada anak tanpa diketahui maksudnya oleh ibu bapa ketika menamakan anak mereka.
Nama dalam bahasa Arab hendaklah dieja dan disebut betul-betul. 
Tambahan atau tertinggal satu huruf membawa makna berbeza. Justeru, elok
 jika dirujuk dulu kepada pakar bahasa Arab bagi mendapatkan ejaan dan 
sebutan tepat nama untuk mengelak salah makna.
Sekarang ini ramai ibu bapa yang sengaja menambah huruf kepada ejaan 
nama anak supaya kelihatan agak pelik dan panjang. Penambahan huruf q, 
e, y, f dan z banyak dilakukan kepada nama kerana dikatakan menarik. 
Banyak masalah timbul akibatnya. Pemilihan nama anak juga perlu menunjukkan perbezaan jantina. Pemilihan nama anak lelaki dengan nama 
melambangkan anak perempuan adalah tindakan mengaibkan anak. Anak akan 
berdepan dengan masalah pengenalan identiti jantina.
Biarpun, dalam masyarakat Islam di Malaysia penggunaan bin dan binti 
untuk membezakan lelaki dan perempuan, penggunaannya hanya digunakan 
dalam urusan rasmi atau ketika nama ditulis. Sedangkan ketika panggilan 
harian tidak disebut bin atau binti.
Islam menegah sama sekali ibu bapa melakukan sesuatu yang mengaibkan 
anak. Hanya ibu bapa tidak senonoh memilih nama tidak baik untuk 
anaknya. Nama Allah berjumlah 99 juga perlu dihindari daripada diberikan
 kepada anak. Nama itu hanya tertentu untuk Allah. Dijelaskan bahawa Rasulullah pernah menukarkan nama seorang sahabat yang digelarkan
 Abul Hakam kepada Abu Syuraih. Nama Abul Hakam seperti nama Allah 
al-Hakam yang bermaksud terserah kepada-Nya segala hukum.
Nama yang boleh menimbulkan rasa sombong juga ditegah diberikan 
kepada anak. Ini berdasarkan kepada kisah Rasulullah yang bertemu 
seorang wanita bernama `Barrah’ bererti `Yang selalu berbuat baik’. 
Lantas Rasulullah memanggil nama wanita itu Juwairiyah.
Ibu bapa juga dinasihatkan mengelak daripada menggunakan nama panjang
 yang mengandungi gabungan beberapa nama. Ia biasanya berlaku apabila 
ibu dan bapa tidak sepakat memilih nama terbaik.
Ibu dan bapa perlu bertolak ansur untuk menentukan nama bagi anak 
yang baru dilahirkan. Bersabarlah, nama pilihan masing-masing boleh 
digunakan kepada anak seterusnya.
Islam tidak membenarkan penggunaan nama yang mendatangkan masalah 
untuk disebut dan diingati. Pemilihan nama panjang membuktikan 
kecelaruan fikiran ibu bapa dalam memilih nama anak.
Soal memilih nama anak bukan perkara mudah. Berilah nama yang terbaik
 dan menggembirakan anak apabila dewasa nanti. Ada anak berusaha menukar
 nama selepas menyedari masalah timbul akibat nama yang diberikan oleh 
ibu bapa. 
INTI PATI
# Nama diberikan kepada anak di dunia kekal digunakan di akhirat.
# Ibu bapa bertanggungjawab memilih nama anak dengan penuh teliti dan berhemah.
# Islam menegah sama sekali ibu bapa melakukan sesuatu yang mengaibkan anak.
# Ada nama Melayu diterjemahkan ke bahasa Arab mempunyai makna buruk dan memalukan.
# Nama baik boleh memberikan kesan jiwa atau rohani kepada pemilik nama untuk berkelakuan baik seperti namanya.
# Ibu bapa bertanggungjawab memilih nama anak dengan penuh teliti dan berhemah.
# Islam menegah sama sekali ibu bapa melakukan sesuatu yang mengaibkan anak.
# Ada nama Melayu diterjemahkan ke bahasa Arab mempunyai makna buruk dan memalukan.
# Nama baik boleh memberikan kesan jiwa atau rohani kepada pemilik nama untuk berkelakuan baik seperti namanya.
No comments:
Post a Comment
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"