BENARKAH Rasulullah DISIHIR Yahudi? | Benarkah Rasulullah pernah disihir. Bukankah Rasulullah itu maksum yang terpelihara daripada kejahatan manusia dan jin?
Sumber: hasnulhadiahmad.com
Soalan 
 1. Saya
 mendengar dakwaan sesetengah pihak, mengatakan Nabi Muhammad SAW 
sendiri pernah disihir betulkah ini berlaku? Tidakkah Nabi Muhammad SAW
maksum yang terpelihara daripada kejahatan manusia, adakah wujud 
keterangan dalam al-Quran atau as-Sunnah tentang perkara ini? 
2. Apakah hikmah Islam melarang keras pekerjaan atau amalan sihir? 
3. Bolehkah saya mengunakan memakai tangkal untuk menghalang kejahatan atau hasad dengki manusia? 
Jawapan dari Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din 
untuk jawapan kepada persoalan ini, Klik TAJUK ENTRI ni
Jawapan 1 
Nabi Muhammad s.a.w 
memang maksum, seperti Firman Allah yang mafhumnya, “Wahai Rasul, 
sampaikanlah apa yang diperturunkan kepadamu dari Tuhan kamu dan jika 
tidak kamu kerjakan apa yang diperintahkan itu, bererti kamu tidak 
menyampaikan amanat-Nya. Allah akan memelihara kamu daripada (kejahatan)
 manusia, sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang 
yang kafir.” (Surah al-Maaidah, 67).
Perkataan maksum jelas 
disebut daripada makna perkataan ‘ya’tsimuka’ (Memelihara kamu). Dalam 
tafsir yang muktabar, tidak ada orang yang boleh membunuhnya. Ia juga 
bermakna Nabi Muhammad maksum, dipelihara sehingga tidak berlaku sesuatu
 kemaksiatan ke atasnya. Nabi tidak melakukan kesalahan yang 
mendatangkan dosa. Adapun makna keselamatan
 umum, sepeti Nabi disakiti sehingga pernah luka kaki baginda dibaling 
batu oleh kanak-kanak upahan di Taif atau terluka (mengalami berbagai 
kesakitan) dalam Perang Uhud, sakit kepala, demam dan sebagainya pernah 
berlaku ke atas baginda. Semua ini bukan 
bermaksud maksum, yang dipelihara Allah S.W.T kerana baginda sebagai 
manusia biasa yang menerima wahyu, baginda juga berlapar, rasa dahaga, 
sakit dan sebagainya.
Merujuk kepada dakwaan 
Nabi disihir, jika diteliti huraian di atas, bermakna sihir memang boleh
 berlaku. Di sebut dalam hadis sahih, Daripada A’ishah r.anha: “Kata 
A’ishah, telah disihir Rasulullah s.a.w oleh seorang lelaki daripada 
Bani Zuraiq dikatakan lelaki itu ialah Labid bin al-A’sam al-Yahudi. 
Rasulullah s.a.w berasa tidak keruan, perkara yang telah dilakukan, 
baginda merasa ragu sudah dilakukan atau tidak. Nabi bertanya A’ishah, 
“Wahai A’ishah, apakah kamu tahu bahawa Allah S.W.T telah melakukan 
sesuatu ke atas diriku? Nabi menyambung dengan katanya, “ada dua orang 
laki-laki datang kepada ku ketika aku sedang tidur, maka salah seorang 
berada disisi kepalaku, seorang lagi berada disisi kakiku, maka seorang 
daripadanya bertanya kepada kawannya, ‘apakah sebenarnya yang dideritai 
oleh Muhammad ini? Maka seorang lagi menjawab, dia telah disihirkan 
orang. Ditanya lagi, siapakah yang telah mensihirnya? Dijawab lagi, 
sihirkan oleh Labid bin al-A’sam. Ditanya lagi dengan apakah dilakukan 
sihir itu? Jawabnya, digunakan sikat rambutnya, dengan satu ikhtiar lain
 (sihir). Ditanya, di manakah diletakkan barang-barang tersebut? 
Dijawabnya, ditanam dalam sebuah perigi namanya Perigi Darwan. Maka 
ditanya lagi, dengan apakah kita akan merawatkan Muhammad ini? Maka 
dibacakan beberapa ayat dari al-Quran. Nabi Muhammad s.a.w sedar dari 
tidurnya maka diberitahu kepada A’ishah, “Bahawasanya, Allah S.W.T telah
 menyembuhkan aku dan aku tidak mahu hal ini menjadi fitnah di kalangan 
manusia dan aku telah sembuh.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis sahih ini 
sekurang-kurangnya memberikan kefahaman kepada kita bahawa musuh-musuh 
Islam, terutamanya Yahudi, akan melakukan apa sahaja untuk memenuhi 
kehendak mereka. Ulama bersepakat bahawa berpandukan kepada hadis sahih 
ini, memang ada percubaan oleh insan yang kenali melakukan sesuatu yang 
dipanggil sihir. Nabi s.a.w memerintahkan
 sahabat, turun ke dalam perigi mencari barang-barang sihir tersebut, 
dikeluarkan dan Nabi telah sembuh seperti biasa. Peristiwa ini tidak 
boleh disamakan dengan manusia di zaman kita yang terkena sihir sehingga
 hilang pertimbangan kewarasan, menderita kesakitan memanjang dengan 
menggangu ibadat, malah menganggu daripada melakukan kerja harian, ini 
semua tidak menganggu Nabi.
Nabi Muhammad cuma 
terasa ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam dirinya. Tiada siapa 
yang mengetahui, A’ishah pun tidak mengetahui sehingga Nabi memberitahu 
tentang dua orang lelaki (malaikat) datang untuk mengubat baginda dengan
 ayat-ayat al-muawwiyat, ayat pelindung penyakit sihir. Sekaligus, ia merupakan panduan kepada umatnya untuk melindungi diri daripada penyakit. Seterusnya, jelas bahawa
 Nabi sendiripun bila disihirkan orang, baginda sendiri tidak 
mengetahui, melainkan selepas Jibril a.s memberitahu bahawa baginda 
telah matbub (disihirkan).
Jika Nabi sendiri tidak 
mengetahui baginda disihirkan, bagaimana orang yang datang untuk 
berubat, mengadu kesakitan, tiba-tiba orang yang hendak mengubat 
tersebut mengatakan ‘kamu telah kena sihir?’ Datang pesakit lain, kita 
mengatakan pula, ‘kamu telah kena buatan orang.’ Ada yang lebih ke hadapan mengatakan, ‘kamu telah disihir fulan bin si fulan.’ Bagaimana insan biasa 
boleh mengetahui sihir yang kena kepada orang lain? Bukan kena kepada 
kepada dirinya, dengan membuat keputusan orang itu kena sihir, inilah 
masalah yang kita hadapi. Tidak sepatutnya berlaku
 sedemikian kerana hanya Allah S.W.T sahaja mengetahuinya dan tidak ada 
orang yang boleh tahu hal sebenarnya. Pengubatan disyariatkan,
 tetapi jangan sampai kita mendakwa orang itu kena sihir atau menuduh 
serta menuding jari kepada orang yang didakwa melakukan sihir. 
Jawapan 2 
Pekerjaan dan amalan 
sihir adalah sesuatu yang pada kebiasaannya mengagungkan makhluk halus 
sama ada yang bernama iblis, jin, syaitan dan sebagainya. Makhluk ini 
sememangnya bertugas sepenuh masa menyesatkan anak Adam dan menjauhkan 
mereka dari rahmat Allah S.W.T. Mereka telah dilaknati Allah S.W.T, 
maka mereka berusaha untuk menyesatkan manusia supaya dijauhkan rahmat 
Allah. Salah satu caranya adalah menggunakan sihir sebagai satu 
profesion mereka mengajar manusia melakukan kerja jahat tersebut.
Manusia akan mudah 
terpengaruh apabila seorang manusia mampu melakukan perkara yang ganjil 
pada pandangan manusia lain. Atau seolah-olahnya ada kelebihan khusus 
kepada orang tertentu, yang mengetahui penyakit orang lain tanpa 
diberitahu. Atau mungkin boleh membaca fikiran orang lain. Hal sedemikian ini ada 
kemungkinan boleh berlaku dengan bantuan makhluk halus, dapat mengagak 
atau makhluk halus mengetahui daripada percakapan mereka kepada diri 
atau kawan-kawan. Perkara ini merangsang manusia mendampingi dan mendapatkan khidmat ahli sihir untuk menyampaikan sesuatu maksud mereka.
Bila sihir dilakukan, 
maka berlaku perkara negatif, yang paling besar sekali adalah kerosakan 
aqidah. Dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w (mafhumnya),”Sesiapa yang 
mendatangi ahli sihir maka sesungguhnya dia telah mensyirikkan Allah 
S.W.T.” (Riwayat Imam Muslim).
Hadis lain menyebut 
(mafhumnya), “Sesiapa yang mendatangi seorang yang mendakwa mengetahui 
perkara ghaib, lalu mempercayai dakwaan tersebut, sesungguhnya dia telah
 kufur dengan al-Quranul Karim yang diturunan kepada Nabi Muhammad.”
Dengan amalan sihir juga
 membuka jalan kepada seseorang mempercayai apa sahaja yang dikatakan 
ahli sihir kepadanya. Kata-kata seperti, ‘penyakit itu berpunca daripada
 orang yang terdekat kepadanya’, kadang-kadang menamakan orang tertentu 
(sama ada ahli keluarga atau kawan karibnya), terus dipercayai tanpa 
menyiasat dengan terperinci. Hal ini boleh 
menimbulkan permusuhan yang berpanjangan sehingga perkara yang tidak 
sepatutnya berlaku, dilakukan. Lebih buruk apabila, dibalas balik dengan
 sihir juga. Dalam al-Quran, Allah 
S.W.T menyebut (mafhumnya), “Sesungguhnya syaitan-syaitan itu 
mengkehendaki supaya berlakulah di kalangan kamu, permusuhan dan 
benci-membenci.”
(Surah ali-Imran, 91).
Jelas bahawa peluang 
yang terbuka kepada orang yang mendatangi ahli sihir ini, syaitan 
mengambil kesempatan menimbulkan permusuhan antara dua orang yang 
berkasih, menimbukkan kebencian yang amat sangat antara anak beranak. Ilmu sihir merupakan 
perantaraan yang boleh menimbulkan caca merba dalam masyarakat. Peluang 
ini digunakan oleh orang yang bukan ahli sihir, tetapi mendakwa boleh 
melakukan hal-hal sedemikian untuk mendapat keuntungan duniawi sehingga 
mengenakan bayaran yang tidak tertanggung oleh pesakit. Oleh kerana itu maka 
Islam sebagai agama salam sejahtera, menyelamatkan manusia dari hal-hal 
yang tidak baik, khasnya menjaga aqidah supaya tidak rosak, memelihara 
harta benda dari pemerasnya dan untuk manusia kembali kepada pertolongan
 Allah S.W.T. Islam melarang dengan sekeras-kerasnya menggunakan sihir sebagai medium menyampaikan sesuatu maksud. 
Jawapan 3 
Di zaman permulaan Islam
 amalan memakai tangkal digunakan ramai masyarakat jahiliyyah. Raslullah
 s.a.w telah mengharamkan pengunaan tangkal dan menggantikan dengan 
pengunaan ayat al-Quran dan doa, khususnya memohon daripada Allah S.W.T 
menghindari dari sesuatu yang tidak diingini. Dakam hadis yang 
diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya, juzuk ke 4 halaman 156 
disebut hadis yang mafhumnya, “Sesiapa yang menggantung tangkal, maka 
sesungguhnya dia telah melakukan perkara syirik.”
Hadis ini merupakan 
hadis umum. Berlaku suatu ketika apabila sahabat-sahabat menerima ayat 
al-Quran daripada Rasulullah s.a.w, diamalkan untuk menghindari ganguan,
 menulis ayat tersebut dikertas dan menggantungkan kepada anak-anak 
mereka yang belum boleh membaca al-Quran.Bila dirujuk kepada Rasulullah,
 baginda tidak melarangnya. Ada sebahagian pendapat jika tangkal tersebut diperbuat daripada ayat-ayat al-Quran, maka ia diharuskan.
Pandangan ulama-ulama 
muktabar yang dipetik daripada Kitab al-Fatawa az-Zahabiyyah 
(Fatwa-fatwa yang amat berharga) pada halaman 253 bagi soalan seperti 
dikemukakan ini, dijawab bahawa, “Adapun penulisan ayat-ayat al-Quran 
dan nama-nama Allah S.W.T untuk dijadikan tangkal, maka ulama-ulama 
berselisih pendapat di kalangan ulama-ulama salaf ada yang 
mengharamkannya secara mutlak dan ada sedikit yang mengharuskannya, 
dengan syarat-syarat khusus. Yang paling sahih, bahawasanya penggunaan 
tangkal-tangkal sama ada al-Quran atau tidak, dilarang dalam hadis-hadis
 terdahulu. Tentang keharusan yang Rasulullah berikan kepada beberapa 
orang sahabat, itu adalah pada permulaan Islam. Apabila iman sudah 
tertanam dalam diri dan untuk mengelak daripada keburukan-keburukan yang
 boleh menjejaskan iman, maka, dilarang sama sekali penggunaan tangkal, 
walaupun menggunakan ayat al-Quran kerana, 1; mencegah daripada 
keburukan yang lebih besar, 2; menjaga kesucian al-Quran dari terbawa 
dalam tandas dan 3; membulatkan keyakinan bahawa Allah Taala sahaja yang
 melindungi manusia daripada segala-galanya.” 
Wallahu’alam…. 
Sumber: hasnulhadiahmad.com

Salam Maulidur Rasul :)
ReplyDeletePercaya pada benda lain slain Allah adalah syirik.. Nauzubillah, mohon dijauhkan :)
benar saudari Hanida Moss
ReplyDelete